Kuala Lumpur, Apr-
Bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi meninggal dunia pada usia 85 tahun, setelah kesihatannya merosot sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Abdullah yang mesra dipanggil Pak Lah menjadi perdana menteri kelima pada 2003 selepas tamat penggal Dr Mahathir Mohamad selama 22 tahun.
Menurut hantaran media sosial menantunya, Khairy Jamaluddin, beliau meninggal dunia pada 7.10 malam semalam di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
Sementara itu, IJN memaklumkan Abdullah dimasukkan ke hospital pagi semalam selepas sukar bernafas dan segera menerima rawatan rapi di Unit Rawatan Koronari.
Dikenali sebagai seorang mudah mesra, lembut tutur katanya, dengan reputasi sebagai ‘Mr Clean’, Abdullah memimpin Barisan Nasional (BN) meraih kemenangan besar pada PRU 2004.
Bagaimanapun pada PRU 2008, gabungan itu gagal mempertahankan majoriti dua pertiganya di Parlimen, selain hilang pentadbiran di empat negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.
Negeri terbabit dikuasai pembangkang diterajui Pakatan Rakyat ketika itu, yang turut mengekalkan pentadbiran di Kelantan.
Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi adalah insan yang mengajar erti kemanusiaan dalam kepemimpinan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim
Katanya, Perdana Menteri kelima itu memimpin negara dengan wajah yang tidak marah, tangan yang tidak menggenggam kuasa, dan suara yang tidak meninggi meski diasak bertubi-tubi.
“Saya masih ingat sewaktu saya sendiri bergelut dalam episod hidup yang gelap dan derita, beliau tidak pernah menambah luka dengan kata-kata nista.Itulah peribadi Pak Lah yang sentiasa memilih damai meski mudah untuk membalas,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
“Beliau menerima saya dengan penuh adab dan ihsan, meski kami pernah berada di medan politik yang bertentangan. Itulah betapa besarnya jiwa seorang negarawan ulung.
“Pak Lah tidak sekadar pemimpin, malah menjadi seorang insan berjiwa besar yang menerapkan naratif baharu dalam politik kekuasaan di Malaysia. Dengan pendekatan Islam Hadhari, beliau menjambatani antara aspek kemajuan dan pembangunan dengan nilai,” katanya.
Anwar berkata, di bawah kepemimpinan Abdullah, negara juga menyaksikan reformasi di bidang kehakiman, ketelusan dalam pentadbiran, dan pemerkasaan institusi.
“Beliau adalah sosok yang memerdekakan suara rakyat melalui pembukaan ruang media dan penyertaan awam.
“Pentadbiran beliau berpaksi pada Rancangan Malaysia Kesembilan yang memacu pertumbuhan ekonomi serta memfokuskan pembangunan insan dan di pedesaan,” katanya.





















