Kuala Lumpur, Apr-
Seorang lelaki berusia 23 tahun dilaporkan menyamar sebagai penolong pegawai perubatan, lengkap dengan uniform dan beg yang lengkap dengan kelengkapan perubatan.
Jabatan Kesihatan Perlis berkata kejadian itu berlaku di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, Perlis pada 9.28 malam, 8 April lalu.
“Pihak hospital mengesahkan lelaki itu mengaku membeli pakaian seragam serta peralatan perubatan berkenaan melalui platform atas talian.
“Pelaku menyatakan dia mempunyai minat yang mendalam terhadap profesion penolong pegawai perubatan,” kata kenyataan itu.
Katanya, laporan polis mengenai kejadian itu dibuat pada 9 April lalu dan tindakan selanjutnya diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.
Jabatan itu juga mengarahkan HTF untuk memperketatkan pemantauan keselamatan di kawasan hospital bagi mengelakkan kejadian sama berlaku di masa depan.
“Kami juga mahu mengingatkan orang awam bahawa penyamaran sebagai penjawat awam di mana-mana institusi adalah satu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Kangar Yusharifuddin Mohd Yusop mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan berkata kini polis sedang menyiasat secara terperinci mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan.