Kuala Lumpur, Mei-
Ada penyewa perumahan awam (PA) gagal membayar sewa selama 26 tahun dengan tunggakan mencecah RM39,140, dedah Datuk Bandar Kuala Lumpur Maimunah Mohd Sharif.
Beliau berkata, kadar sewa ditetapkan adalah RM124 sebulan tidak termasuk caj penyelenggaraan dengan kawasan tertinggi tunggakan dicatatkan di projek perumahan rakyat (PPR) Kampung Muhibbah (RM1.9 juta) dan PPR Desa Rejang (RM1.28 juta).
Katanya, bagi menyelesaikan isu tunggakan sewa PPR dan PA kendalian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang kini mencecah RM70 juta, pihaknya akan mengadakan perbincangan secara dalaman terlebih dahulu minggu depan.
“Saya akan tengok…sebab langkah-langkah yang kita buat sekarang, kita akan semuka dengan penyewa, tanya kenapa tak bayar dan kita kunci meter air mereka.
“Kita ada kuasa keluarkan mereka dari unit kalau tak bayar tapi mereka ini B40, jadi kita tengok macam mana. Jadi, saya akan buat satu analisis dan bincang dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa,” katanya.
Beliau berkata, antara alasan diberikan penyewa yang gagal membayar sewa adalah kekurangan dana.





















