Kuala Lumpur, Mei-
Keputusan kerajaan menyambung kontrak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, dibuat atas dasar keyakinan terhadap keberanian beliau dalam memerangi rasuah secara tegas dan menyeluruh.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun keputusan itu menerima kritikan daripada pelbagai pihak termasuk pembangkang, beliau tetap berpegang kepada pendirian bahawa Azam telah menunjukkan ketegasan yang luar biasa dalam membanteras rasuah, termasuk terhadap individu berprofil tinggi.
“Saya percaya, melihat kepada perkembangan SPRM selama puluhan tahun, inilah kali pertama SPRM berani menggeledah semua ‘tauke besar’.
“Ya, ini kenyataan. Saya boleh ganti dan bincang dengan rakan-rakan dalam Kabinet, boleh sahaja ganti esok, tetapi saya tidak yakin pengganti itu akan cukup berani menyinggung ‘tauke besar’ yang memiliki kekayaan berbilion ringgit,” katanya.





















