Pendekatan Inovatif ke Arah Ekonomi Hijau dan Taman Perindustrian Rendah Karbon -Presiden UN Habitat Nga Kor Ming

Kuala Lumpur, Julai-
Presiden Perhimpunan UN-Habitat, Nga Kor Ming menyeru,   pendekatan inovatif ke arah ekonomi hijau dan taman perindustrian rendah karbon melalui kerjasama yang dirancang bersama Pertubuhan Pembangunan Perindustrian Bangsa-Bangsa Bersatu (Unido).

Nga yang sedang dalam lawatan kerja ke Vienna sempena Sidang Kemuncak Bandar Dunia (WCS) 2025 telah mengemukakan cadangan tersebut semasa pertemuan dengan Ketua Pengarah Unido, Gerd Müller di Vienna International Centre pada Rabu kata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam satu kenyataan pada Khamis (3 Julai)  .

Dalam pertemuan itu, Nga mencadangkan pembangunan garis panduan antarabangsa bersepadu antara UN-Habitat dan Unido untuk bangunan perindustrian hijau.

Di bawah kerangka yang dicadangkan, UN-Habitat akan mempromosikan penerimaan dan pelaksanaan piawaian ini dalam kalangan pihak berkuasa tempatan di seluruh dunia, manakala Unido akan bertindak sebagai badan akreditasi bagi bangunan yang mematuhi kriteria tersebut.

Kementerian berkata cadangan itu, yang bertujuan mengurangkan pelepasan karbon daripada bangunan perindustrian serta menggalakkan pembangunan taman perindustrian rendah karbon, telah diterima secara positif oleh Müller.

Kementerian turut menyatakan bahawa Nga menekankan pembangunan mampan mesti berakar pada penciptaan pekerjaan dan pembangunan ekonomi yang inklusif tanpa mengira sama ada di kawasan bandar mahupun luar bandar.

Unido memainkan peranan penting dalam transformasi ini, khususnya melalui bidang tumpuannya seperti ekonomi kitaran, pembuatan hijau dan agro-industri. Masa untuk bertindak ialah sekarang.

Kita mesti mewujudkan pekerjaan dan memperkasakan pihak berkuasa tempatan sebagai sebahagian daripada laluan kita menuju ke arah bandar hijau yang inklusif, dan kita perlu memastikan kemajuan ini berpaksikan inovasi dan hasil yang boleh diukur,” katanya.

Antara hasil utama lain daripada pertemuan tersebut ialah persetujuan bersama untuk mengaktifkan semula memorandum persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani antara Unido dan UN-Habitat pada tahun 2017, di mana kedua-dua pihak bersetuju untuk mempergiatkan kerjasama dalam inisiatif berdaya tahan iklim serta pemerkasaan pihak berkuasa tempatan, khususnya di kawasan luar bandar.

Kementerian turut memaklumkan bahawa Nga, yang diiringi oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif dan Duta Besar Malaysia ke Austria dan Slovakia, Ikram Mohammad Ibrahim, telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Datuk Bandar Vienna, Dr Michael Ludwig.

Delegasi Malaysia juga telah melawat Dewan Bandaraya Vienna dan dijadualkan mengunjungi Seestadt Aspern, kawasan pintar unggulan Vienna, pada Khamis bersama Menteri Pembangunan Negara Singapura, Chee Hong Tat.

Kementerian berkata lawatan itu bertujuan untuk meneroka bagaimana proses pembandaran boleh mengintegrasikan teknologi bandar pintar, seni bina moden, ruang hijau dan kemudahan rekreasi dengan jayanya sambil mengekalkan warisan sejarah dan kekayaan budaya Vienna.

Kejayaan pembandaran Vienna membuktikan bahawa dengan visi dan tadbir urus yang kukuh, pemeliharaan sejarah dan inovasi moden boleh wujud secara seiring. Sebagai Presiden Perhimpunan UN-Habitat, saya berbesar hati untuk berkongsi pandangan ini dengan 193 negara anggota kami serta membawanya pulang ke tanah air,” kata Nga.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here