Shah Alam, Ogos-
Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun disyaki menjadi mangsa dera selepas dihantar ke rumah pengasuh di Seksyen 16, Shah Alam pada 14 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihak polis menerima laporan daripada ibu mangsa pada 15 Ogos sekitar jam 12 tengah malam selepas mendapati anaknya mengalami kesan lebam di muka.
Siasatan awal mendapati mangsa dihantar ke rumah pengasuh sekitar jam 10 pagi sebelum dipulangkan semula pada jam 9.30 malam dalam keadaan cedera.
“Mangsa telah mendapatkan rawatan di Hospital Shah Alam, dan pegawai perubatan mengesahkan kecederaan dialami sebagai ‘alleged assaulted sustained soft tissue injury’ pada bahagian muka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan laporan itu, polis menahan pasangan suami isteri berusia 40 dan 37 tahun yang merupakan pengasuh kanak-kanak tersebut pada 17 Ogos, kira-kira jam 11.22 malam di sebuah pangsapuri di Seksyen 16.
“Kedua-dua suspek telah direman selama tiga hari bermula 18 Ogos 2025 selepas perintah tahanan diperoleh di Mahkamah Shah Alam.




















