Gombak, Okt-
Seorang pemandu lori simen ditemukan rentung selepas kenderaan berat dipandunya hilang kawalan dan terbalik sebelum terbakar di Kilometer (KM) 28 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), sekitar Genting Sempah di sini, awal pagi tadi /
Aliran trafik dilaporkan sesak sejauh 10 kilometer (km) dari Genting Sempah menuju ke Gombak susulan kemalangan melibatkan sebuah lori di KM 28 Lebuh Raya Karak, hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar, berkata mangsa berusia 28 tahun disahkan maut oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.
“Sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang dikerah ke lokasi sejauh 22km sejurus terima panggilan kecemasan pada 4.21 pagi dan tiba jam 5.07 pagi.
“Komander operasi melaporkan, kebakaran membabitkan sebuah lori membawa muatan debu simen dan terdapat seorang mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lori terbabit dianggarkan musnah 60 peratus akibat terbakar terutama di bahagian kabin pemandu susulan kemalangan itu.
Berdasarkan dokumen pengenalan diri pada mangsa adalah lelaki tempatan bernama Muhammad Izzat Kamaruddin.





















