Kuala Lumpur, Nov 28.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek hari ini memohon maaf kepada semua komuniti India di negara ini susulan insiden larangan nyanyian lagu tradisi bahasa Tamil, Tamil Vaalthu sewaktu penganjuran Karnival Bahasa Tamil Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 di Kepala Batas, Pulau Pinang, baru-baru ini.
Beliau berkata, Kementerian Pendidikan mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap insiden itu, selain menyifatkan perkara berkenaan tidak sepatutnya berlaku.
Katanya, KPM juga telah mengambil tindakan tegas terhadap pegawai yang didapati cuai dalam melaksanakan perkara berkaitan sensitiviti itu, selain memberi jaminan perkara sama tidak berulang lagi.
Oleh demikian, saya menggunakan sepenuh tanggungjawab ini sebagai menteri melahirkan kekesalan yang mendalam dan pihak saya (KPM), ingin memohon maaf kepada komuniti India yang tersinggung dengan keadaan dan kesilapan teknikal, komunikasi dan apa juga tujuan yang berlaku pada majlis itu. Kita ambil tanggungjawab penuh, jadi tidak timbul isu kita tidak sensitif… perkara ini memang tidak disengajakan, tidak pernah berlaku sebelum ini… tiada langsung niat untuk meminggirkan mana-mana kaum, kata beliau ketika menggulung perbahasan peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 (Belanjawan 2024) bagi kementerian itu, di Dewan Rakyat semalam.
Fadhlina memberi jaminan nyanyian lagu ‘Tamil Valthu’ akan dinyanyikan pada sambutan Hari Deepavali peringkat Pulau Pinang pada 29 Nov ini agar ia dapat dihayati oleh semua pendidik di negeri itu.





















