K Devaraj Pottery Bertungkus Lumus Siapkan 50,000 Periuk Tanah Sempena Ponggal

NIBONG TEBAL –

Menjelang sambutan Ponggal atau pesta menuai yang diraikan masyarakat India pada Rabu depan, permintaan terhadap periuk tanah sememangnya meningkat secara mendadak.

Tekanan itu dirasai oleh pembuat periuk tanah, D. Reguraj dan isterinya, R. Thulasi untuk memenuhi permintaan yang tinggi daripada masyarakat India dan pihak kuil yang mahu membeli periuk tanah baharu bagi menanak nasi manis bersama susu lembu untuk merayakan Ponggal bersama yang tersayang.

Reguraj merupakan generasi kelima pewaris perniagaan keluarga ‘K Devaraj Pottery’ sejak 121 tahun yang lalu.

Thulasi, 45, berkata pada tahun ini keluarganya yang dibantu oleh 15 pekerja menyiapkan sebanyak 50,000 unit periuk tanah yang akan diagihkan kepada para pembekal, peruncit dan pelanggan yang datang sendiri ke kilang untuk membeli periuk tanah itu.

“Setiap tahun memang ada permintaan kerana masyarakat India digalakkan untuk membeli periuk baharu…ia ibarat simbolik kepada ‘permulaan baharu’,” katanya .

Menurut Thulasi, tahun ini pihaknya menawarkan empat saiz periuk dan warna yang berbeza dengan harga antara RM3 hingga RM35.

“Periuk yang paling kecil berharga RM3 mampu menanak sebanyak satu cawan beras. Kami ada juga buat tempahan khas terutamanya kepada pihak kuil. Mereka akan tempah (periuk) untuk masak dalam kuantiti yang besar di kuil,” katanya.

Beliau berkata pihaknya mampu menghasilkan sebanyak 1,500 periuk tanah dalam masa seminggu bergantung kepada keadaan cuaca bagi memenuhi permintaan pelanggan kebanyakan dari wilayah utara seperti Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Perlis.

“Memang ada permintaan dari kawasan lain tetapi kita tidak mahu hantar kerana risau akan ganggu perniagaan orang lain di sana,” kata ibu kepada dua orang anak itu.

Menurutnya, proses pembuatan periuk tanah itu mengambil masa kira-kira seminggu termasuk mengisar tanah liat yang dibawa khas dari Ipoh, Perak dengan pasir dan tepung, membentuknya mengikut saiz periuk tanah menggunakan tangan, mengering, membakar dan mewarnakannya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here