Mahathir nyatakan solidariti, sokongan kepada China berhubung COVID-19

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah menyatakan solidariti dan sokongan padu Malaysia kepada  China dalam mengendalikan epidemik COVID-19 yang sedang berlaku.

Dalam perbualan telefon lebih setengah jam dengan Presiden China Xi Jinping semalam, Dr Mahathir turut menzahirkan keyakinan terhadap setiap usaha yang dilakukan presiden dan kerajaannya berhubung perkara itu.

“Kedua-dua pemimpin bercakap tentang persefahaman bersama dan hubungan erat untuk membendung dan menangani epidemik COVID-19 , serta meminimumkan kesannya,” kata Kementerian Luar dalam kenyataan.

Menurut kementerian itu,  Presiden Xi menghargai persahabatan dan bantuan Malaysia, dan memberi jaminan bahawa China mempunyai kekuatan untuk menangani wabak COVID-19 dan akan menjaga rakyat Malaysia dan rakyat negara lain yang kini berada di China sama seperti warganegara mereka.

Kedua-dua pemimpin bersetuju tentang perlunya usaha bersepadu, dengan perdana menteri merujuk kepada langkah bersama yang akan diambil oleh ASEAN dan China untuk memastikan situasi itu terkawal.

Terdapat 19 kes COVID-19 atau jangkitan virus korona 2019 disahkan di Malaysia sehingga semalam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here