Seorang gadis hilang sejak Rabu lalu selamat ditemukan kira-kira 55km dari rumahnya di Kampung Guntong dalam keadaan bergayut pada akar pokok berhampiran tebing sungai di Felcra Kruak, Jertih, Terengganu tengah hari semalam.
Hanis Syamimi Yusuff, 20, ditemui dalam keadaan keadaan lemah, kelaparan dan kesejukan kerana berada di dalam sungai selepas hampir seminggu hilang.
Sepupu mangsa, Mohd Hafiz Zahari, 35, berkata, ibu Hanis, Nasarah Muhammad, 56, ialah insan paling gembira mendapat perkhabaran anak tunggalnya selamat ditemukan pada jam 3 petang itu.
“Saya ada bertanya Hanis macam mana dia boleh sampai sejauh ini dengan motosikal. Dia beritahu apa yang berlaku itu di luar kawalannya selepas terdengar satu suara memanggil-manggil namanya.
“Selepas tersedar, dia terkejut apabila mendapati dirinya sudah berada di dalam sungai,” katanya ketika dihubungi disini hari ini.
Menurutnya, tangki minyak motosikal milik Hanis juga penuh sedangkan sepupunya itu langsung tidak memiliki wang ketika keluar dari rumah.
“Hanis dibawa ke Hospital Jertih untuk pemeriksaan lanjut sebelum dibawa pulang ke rumah. Saya bersyukur pada ALLAH Hanis ditemukan dalam keadaan selamat,” katanya.
Terdahulu, Mohd Hafiz memberitahu, dia bergegas ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh untuk mendapatkan bantuan selepas membaca entri di laman sosial Facebook Anak-Anak Jertih berhubung penemuan motosikal ditunggang Hanis.