Majikan kini dibenarkan membuat tuntutan subsidi bagi saringan COVID-19 untuk pekerja yang mencarum dengan PERKESO sebanyak RM150 berkuat kuasa hari ini.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, kementerian melalui PERKESO menyediakan subsidi kepada majikan yang menjalankan ujian COVID-19 terhadap pekerja menerusi perluasan skop Program Saringan Prihatin (PSP).
Beliau dalam satu kenyataan memaklumkan, program subsidi itu akan menggunakan peruntukan dana sebanyak RM200 juta yang telah diluluskan PERKESO sebelum ini.
Sehubungan itu, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Kesihatan Malaysia, KKM dan Kementerian Kerja Raya bersetuju supaya skop PSP PERKESO diperluas dengan menambah bilangan penyedia perkhidmatan saringan COVID-19.
Jelasnya, majikan boleh menghantar pekerja menjalani saringan di mana-mana klinik atau hospital yang diluluskan oleh KKM.
Selaras dengan matlamat kerajaan untuk menjalankan saringan secara bersasar pekerja asing dalam sektor pembinaan dan perkhidmatan kawalan keselamatan di Selangor dan Kuala Lumpur akan diberi keutamaan menjalani ujian saringan COVID-19.
Datuk Seri M. Saravanan memaklumkan, bagi pekerja yang tidak termasuk dalam golongan sasar tersebut, kos saringan perlu ditanggung majikan sebagai kesinambungan kepada usaha pencegahan jangkitan COVID-19 dalam kalangan semua pekerja.