Elak pencemaran: P Pinang saran gazetkan zon penampan dari sungai

Semua negeri disarankan agar menggazetkan zon penampan 30 meter ataupun jarak seratus kaki bagi sisi sungai strategik yang merupakan sumber utama bekalan air bagi pengguna.

Demikian disarankan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir Jaseni Maidinsa.

Jelas beliau, tindakan tersebut adalah bagi menghalang kawasan tersebut dari dicerobohi serta pencemaran air sepertimana yang sering berlaku di negeri Selangor.

“Bagi Pulau Pinang telah dipraktikkan sejak 2008 lagi apabila jarak 30 meter zon penampan ditetapkan sepanjang 14 kilometer terusan Sungai Dua yang akan disalurkan terus ke Loji Rawatan Air Sungai Dua.

“Langkah keselamatan yang dilaksanakan oleh PBAPP agar kejadian pencemaran sungai seperti di Selangor tidak berlaku disini ialah turut menempatkan polis bantuan bagi membuat pengawasan dan rondaan 24 jam setiap hari, iaitu tujuh hari seminggu.

“Dalam kes pencemaran air Sungai Gong di Rawang, yang melibatkan industri haram semua peruntukan undang-undang yang ada di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan maupun Jabatan Alam Sekitar adalah cukup bagi dikenakan tindakan,” ujar Jaseni lagi.

Beliau juga berkata, apakala wujudnya industri haram, ia harus dirobohkan dengan segera dan bukan hanya setakat dikenakan denda atau kompaun.

Selain itu tegas Jaseni, sekiranya industri haram tersebut telah pun dibangunkan sebelumnya, maka ia harus diubah ke tempat lain yang lebih bersesuaian.

Ia juga berkata, Jabatan Alam Sekitar serta Pihak Berkuasa Tempatan sepatutnya menjalankan pemantauan bagi memastikan undang-undang sedia ada dilaksanakan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here