Amerika sedia mulakan peralihan kuasa

Amerika Syarikat (AS) pada Selasa memaklumkan pihaknya sudah bersedia memulakan proses peralihan kuasa kepada bakal Presiden Joe Biden secara rasmi.

Ketua Pentadbir GSA, Emily Murphy memaklumkan mengenai perkara itu menerusi sepucuk surat yang dihantar kepada Biden pada Isnin (23 Nov), lebih dua minggu selepas beliau memenangi pilihan raya presiden yang diadakan pada 3 Nov lalu.

“Saya mengambil serius peranan ini dan disebabkan perkembangan terbaharu melibatkan cabaran undang-undang serta perakuan keputusan pilihan raya, saya menulis surat ini bagi menyediakan sumber dan perkhidmatan tersebut kepada anda,” kata Murphy dalam suratnya.

Menerusi keputusan itu, tambahnya, dana persekutuan sebanyak AS$7 juta disediakan kepada Biden untuk peralihannya.

“Peranan Pentadbir GSA di bawah Akta Peralihan Presiden 1963 sangat terhad: menyediakan sumber dan perkhidmatan berkaitan peralihan presiden.

“Disebabkan perkembangan terbaharu melibatkan cabaran undang-undang dan perakuan keputusan pilihan raya, saya memutuskan bahawa anda mempunyai kuasa untuk mengakses sumber dan perkhidmatan pasca pilihan raya seperti yang tertera pada Bahagian 3 akta berkenaan atas permintaan.

 “Pemenang sebenar Pilihan Raya Presiden akan ditentukan menerusi proses pemilihan seperti yang diperincikan dalam perlembagaan,” jelasnya.

Langkah berkenaan sekali gus sebagai pengakuan paling jelas berhubung kemenangan Biden mengatasi Presiden Donald Trump.

Untuk rekod, di bawah undang-undang persekutuan, Ketua GSA memegang kuasa untuk membenarkan penggunaan berjuta-juta dolar yang diperuntukkan untuk perbelanjaan peralihan presiden.

Proses peralihan secara rasmi hanya akan bermula selepas GSA mengesahkan pemenang mutlak Pilihan Raya Presiden.

Pengesahan tersebut tertunda selama ini kerana proses perundangan yang dilancarkan Trump.

Kegagalan pengesahan itu juga menyebabkan Demokrat tidak menerima dana persekutuan bagi proses peralihan, dan akses kepada agensi yang terlibat.

Pada 8 November lalu, Biden diisytiharkan memenangi pilihan raya presiden AS ke-46.

Beliau dijangka mengangkat sumpah rasmi pada 20 Januari 2021.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here