Baru-baru ini kita dikejutkan dengan kemunculan kes pertama varian Covid-19 mutasi berganda yang dilaporkan dari India yang dibawa masuk oleh seorang rakyat India yang disaring di pintu kemasukan KLIA.
Persoalannya, bagaimana pelancong India ini dapat masuk ke Malaysia dan atas urusan apa beliau dapat masuk ke Malaysia dalam keadaan pelbagai sekatan perjalanan sedang dikuatkuasakan?
Rakyat secara jujurnya begitu bersungguh mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan demi menyelamatkan nyawa dan poket mereka daripada dikompaun.
Tetapi ketidaksungguhan kerajaan dalam mengamalkan penguatkuasaan undang-undang secara telus mengakibatkan kes Covid-19 ini semakin hari semakin bertambah.
Bahkan, rakyat pula sering dipersalahkan kononnya tidak patuh kepada SOP sama ada di masjid, bazar Ramadan dan sekolah.
Walhal, hakikatnya kerajaan sendiri tidak telus dalam menguatkuasakan undang-undang SOP dalam kalangan kluster kayangan, ahli politik dan industri.
Malah, yang paling mendukacitakan, pekerja hotel dan kasino di Genting Highlands mendapat vaksin yang terawal berbanding barisan hadapan yang lain sedangkan ramai frontliner yang masih belum divaksin walaupun pada dos pertama.
Justeru, apa fungsi Proklamasi Darurat yang sedang dikuatkuasakan sehingga Ogos 2021 jika tujuan asal untuk menangani Covid-19 gagal dilaksanakan?
SOP yang dikuatkuasakan dilihat hanya untuk rakyat marhaen manakala terdapat set SOP yang berbeza untuk selebriti, instafemes, ahli politik dan suku-sakat mereka.
Besar harapan rakyat Malaysia agar DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dapat melihat semula kewajaran Proklamasi Darurat ini selepas rakyat melihat kerajaan PN sebenarnya hanya menggunakannya untuk menyelamatkan survival politik mereka berbanding kemaslahatan rakyat mendepani pandemik.
Tanpa semak dan imbang yang jelas, tiada siapa dapat mempersoal aliran wang yang dibelanjakan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) walhal hasil belanja itu tidak mencapai objektif yang tuntas dalam menurunkan kes Covid-19.
Apa yang pasti adalah gaji Ahli Parlimen dan anggota Kabinet masih kekal berjalan manakala Parlimen masih kekal terkunci rapi.
*IKHMAL ISKANDAR merupakan Pengarah Komunikasi Pemuda AMANAH Perak.