Beberapa kanak-kanak gelandangan dilihat berulang kali merayu kepada petugas agihan makanan agar diberikan kotak dipercayai untuk digunakan sebagai alas tidur.
“Abang nak kotak. Bolehlah bang. Please,” rayu kanak-kanak berbaju merah dalam satu video tular di media sosial.
Dia berusia dalam lingkungan lapan tahun itu sehingga sampai tahap meninggikan suara kerana mahukan kotak itu ketika aktivis terbabit sedang sibuk mengagihkan makanan.
Kedengaran juga suara kanak-kanak lain meminta kotak yang menjadi alas tidur bagi komuniti gelandangan di sepanjang kaki lima bangunan di sekitar Chow Kit di ibu negara.
Golongan gelandangan termasuk kanak-kanak jalanan di Kuala Lumpur bukan satu lagi pemandangan asing di bandar raya itu terutamanya pada waktu malam.
Pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil membantu mereka termasuk menawarkan peluang pekerjaan selain sumbangan makanan setiap hari.
Namun, jumlah mereka majoritinya warganegara Malaysia dilihat masih ramai dengan komuniti terbabit dapat dilihat beratur panjang di Chow Kit ketika menerima sumbangan.
Susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung wabak Covid-19 tahun lalu, kerajaan menempatkan kira-kira 800 gelandangan di empat dewan komuniti dan serba guna sekitar ibu negara.
Mereka ditempatkan di Pusat Komuniti Sentul Perdana, Dewan Serbaguna Ampang Hilir, Pusat Komuniti Setiawangsa dan Dewan Serbaguna Alam Damai.
Semua bantuan disalurkan oleh orang awam akan dihantar terus ke pusat penempatan gelandangan terbabit.
Walau bagaimanapun, masih ramai gelandangan berkeliaran di kawasan ibu negara sekali gus meningkatkan risiko jangkitan Covid-19 antara mereka.