Kaunter perkhidmatan cawangan KWSP dibuka mulai 1 Julai

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan membuka semula kaunter perkhidmatan di pejabat cawangan di seluruh negara mulai 1 Julai, 2021 dari 8.30 pagi hingga 2 petang pada hari bekerja dan melibatkan perkhidmatan terpilih.

Dalam kenyataan pada Rabu, KWSP berkata langkah itu bagi memudahkan ahli yang memerlukan perkhidmatan dana persaraan itu selain mengimbangi aspek kesihatan dan keselamatan anggota serta ahli yang berurusan di cawangan tersebut.

Perkhidmatan terpilih itu melibatkan urusan pengeluaran bagi ahli berusia 50, 55 dan 60 tahun; pengeluaran bagi tujuan kesihatan; pengeluaran kematian dan penyerahan arahan bayaran (PO) serta cek jurubank pengeluaran.

“Ahli-ahli perlu membuat janji temu terlebih dahulu melalui kemudahan Janji Temu Online dengan melayari www.kwsp.gov.my/janjitemu sebelum boleh mendapatkan perkhidmatan di kaunter KWSP.

“KWSP akan menghubungi ahli berkenaan untuk hadir di kaunter KWSP bagi urusan penyerahan PO dan cek jurubank untuk pengeluaran yang telah dibuat oleh mereka,” katanya.

Selain itu, ahli diingatkan untuk melakukan transaksi dalam talian menerusi i-Akaun (ahli) dan i-Akaun (majikan) untuk mempercepat serta memudahkan urusan dengan KWSP.

Maklumat lanjut boleh diperolehi menerusi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03-8922 6000 atau dengan melayari laman sesawang ww.kwsp.gov.my.

-Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here