MULAI 2 OGOS PEMBAYARAN I-CITRA AKAN DIMASUKKAN KE DALAM AKAUN PENCARUM

Petaling Jaya, Jul 23-

Pembayaran pengeluaran i-Citra daripada akaun pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan dibuat secara berperingkat mulai 2 Ogos ini.

Berdasarkan infografik dikongsi di Twitter, agensi mengurus dana persaraan pekerja itu memaklumkan bayaran akan dimasukkan ke akaun bank pencarum dalam tempoh satu hingga tiga hari waktu bekerja.

Bagi pembayaran secara arahan bayaran pula, KWSP menjelaskan ahli akan menerima notis atau dihubungi cawangan dipilih untuk urusan pengambilan wang tunai.

Semakan status bayaran boleh dibuat melalui i-akaun dan hubungi hotline i-Citra di talian 03-8922 4848 untuk pertanyaan.

Pada 28 Jun, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengumumkan skim i-Citra yang membenarkan ahli KWSP terjejas akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) membuat pengeluaran sehingga RM5,000.

Ia membolehkan pengeluaran kadar bayaran tetap RM1,000 sebulan selama lima bulan tertakluk kepada jumlah simpanan ahli.

Permohonan dibuka mulai 15 Julai lalu menerusi http://icitra.kwsp.gov.my.

KWSP turut memaklumkan bayaran bagi program i-Sinar untuk Ogos diawalkan kepada 26 dan 27 Julai.

Pengeluaran i-Citra diperkenalkan selaras dengan pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) pada 28 Jun, sebagai inisiatif jangka masa pendek bagi membantu ahli yang terkesan dengan cabaran ekonomi akibat pandemik Covid-19.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here