Ganti kad pengenalan, pasport percuma untuk mangsa banjir

Mangsa banjir yang kehilangan kad pengenalan, pasport dan dokumen peribadi kendalian Kementerian Dalam Negeri akan diberikan dokumen ganti secara percuma.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata buat masa ini, mangsa banjir perlu terlebih dahulu menumpukan proses pembersihan.

Katanya, selepas kerja pembersihan beberapa hari lagi, Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen akan dikerahkan untuk membantu mangsa mendapatkan semula dokumen mereka yang musnah atau hilang akibat banjir.

“Segala dokumen, sijil kelahiran, sijil kematian, pasport atau dokumen yang musnah akibat bencana (banjir) ini akan diberikan secara percuma,” katanya selepas melawat dan memberikan bantuan kepada mangsa banjir di Kampung Jawa, Batu 18 di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau melawat Balai Polis Batu 18 yang turut ditenggelami air dalam kejadian banjir, Sabtu lalu. Yang turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Hamzah berkata, beliau hadir melawat kawasan banjir Hulu Langat selepas kenderaan dibenarkan masuk sebaik air surut dan laluan dibersihkan. Saya mahu melawat semalam tetapi dinasihatkan hari ini kerana kawasan operasi menyelamat dan membersihkan kawasan giat dilaksanakan semalam,katanya.

Sementara itu, beliau menyifatkan banjir yang berlaku di Hulu Langat dan Shah Alam adalah di luar jangkaan berbanding persediaan agensi kementeriannya yang memberi fokus kepada negeri di Pantai Timur.

“Kebiasaannya banjir berlaku di negeri Pantai Timur pada November hingga Mac yang mana kami mengatur gerak kerja ke kawasan berkenaan. “Malah, aset yang ada sudah digerakkan ke negeri berkenaan,” katanya.

Justeru, Hamzah akan berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Kementerian Kewangan dalam mengkaji struktur penggunaan aset dalam operasi banjir.

“Kita akan duduk berbincang untuk melihat apa yang perlu diperbaiki dari sudut aset dan pelbagai aspek lain dalam operasi banjir ini,” katanya menegaskan polis hanya agensi yang membantu kerja menyelamat bukan pasukan penyelamat.

Namun, katanya polis tetap memberi respon pertama apabila menerima panggilan kecemasan sebelum disalurkan kepada pihak berkuasa yang berkaitan untuk tindakan selanjutnya.

“Saya ucapkan terima kasih kepada masyarakat yang menyalurkan maklumat untuk membantu mangsa dalam media sosial tetapi jangan mengata… kita faham keadaan (banjir) di Selangor jarang berlaku dan kita perlu melihat apa yang perlu dilakukan dan berdepan halangan serta masalah untuk masuk ke kawasan menyelamat,” katanya.

Pada masa sama, Hamzah berkata, pihaknya akan mendapatkan bantuan lebih 5,000 anggota Jabatan Sukarelawan (RELA) dan agensi berkaitan bagi menampung kekuatan lebih 23,000 anggota dan pegawai polis dalam operasi membantu mangsa di lapan negeri yang terjejas akibat banjir.

Setakat ini empat balai polis di Selangor terjejas banjir manakala 30 lagi terjejas di seluruh negara.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here