SELANGOR SARAN SEKTOR EKONOMI DITUTUP

Kuala Lumpur, Julai 9-

Kerajaan Selangor mengesyorkan supaya sektor ekonomi dan industri yang tidak dibenarkan beroperasi sebelum ini, kekal ditutup sehingga tamat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Ia susulan pengumuman, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang membenarkan lebih banyak sektor ekonomi beroperasi di lokaliti yang dikenakan PKPD di Selangor bermula kelmarin.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, membuat syor itu kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini, berikutan jumlah kes COVID-19 yang tinggi direkodkan di kawasan dikenakan PKPD.

Berikutan itu, katanya, beliau mencadangkan supaya MKN mempertimbangkan untuk hanya membenarkan sektor yang perlu sahaja beroperasi di dalam kawasan PKPD.

“Jumlah kes yang tinggi di Selangor antaranya akibat saringan menyeluruh di kawasan PKPD yang menyumbang kepada kes kumulatif berjumlah 1,346 kes, serta saringan kontak rapat dari kes positif di PKPD.

“Dalam mesyuarat hari ini, saya telah mengesyorkan beberapa cadangan kepada MKN.

“Cadangan itu adalah mengekalkan penutupan sektor ekonomi dan industri yang telah ditetapkan sehingga tamat pelaksanaan PKPD,” katanya menerusi Twitter, hari ini.

Amirudin turut mencadangkan kepada MKN supaya vaksinasi kumpulan pekerja di Selangor dipercepatkan, dan kadar vaksinasi ditentukan sebagai antara faktor pembukaan sektor ekonomi.

“Kerajaan Selangor melihat matlamat pelaksanaan PKPD, iaitu bagi memutuskan rantaian wabak serta mengurangkan beban kepada sistem kesihatan negara, masih belum dicapai.

“Oleh itu, Kerajaan Selangor mencadangkan agar hanya sektor ekonomi yang perlu sahaja dibuka bagi pertimbangan MKN,” katanya.

Semalam, Selangor mencatat kes harian COVID-19 tertinggi di negeri itu dengan 4,152 kes, iaitu 47 peratus daripada keseluruhan 8,868 kes baharu di seluruh negara.

Sejak 3 Julai lalu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPD di 34 mukim di Selangor selama 14 hari sehingga 16 Julai depan berikutan negeri itu menunjukkan trend jangkitan tinggi.

BH hari ini melaporkan, beberapa pakar epidemiologi dan kesihatan awam berpandangan kerajaan wajar mengurangkan atau menutup sepenuhnya sektor ekonomi di empat negeri yang berdepan risiko sistem kesihatan lumpuh sepenuhnya susulan peningkatan kes COVID-19.

Empat negeri itu ialah Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Labuan, dan pakar berpandangan jumlah kes harian dan kematian dijangka meningkat jika perkara itu tidak diatasi.

Ia berikutan, jumlah sektor yang dibenarkan beroperasi ketika ini menyebabkan pergerakan orang ramai masih tinggi, sekali gus menyumbang penularan berterusan pandemik itu dalam komuniti dan tempat kerja, khususnya di kilang.

Berdasarkan situasi semasa yang menyaksikan kes kembali meningkat menghampiri 10,000 walaupun ketika negara dikenakan sekatan pergerakan, pakar itu berkata, kerajaan perlu memilih untuk melaksanakan dasar kawalan wabak atas pertimbangan ekonomi atau mengutamakan kesihatan dan nyawa rakyat yang terancam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here