Harga ikan naik 10 hingga 20 peratus

Kuala Lumpur: Harga ikan di sekitar Lembah Klang menunjukkan peningkatan sekitar 10 ke 20 peratus berikutan kekurangan bekalan. Kenaikan ini juga tidak dapat dielakkan kerana rata-rata peniaga mengeluh mengenai bekalan yang diterima terpaksa dihadkan dan tidak mencukupi seperti biasa.

Peniaga ikan, Mat Rozi, 45 berkata, kenaikan harga ikan laut dan ikan air tawar memang berlaku dan pihaknya terpaksa menjual pada harga lebih mahal berbanding sebelumnya. Bukan sahaja ikan laut, malah ikan air tawar pun sama naik, kalau dulu ikan keli kami dapat pada harga RM6 sekilo sekarang RM6.50 ke RM7, manakala ikan talapia merah pula RM9 sekilo.

Apabila jual kepada pelanggan biasa kami letak RM12 sekilo (untuk talapia merah) dan bagi pembelian borong harga kami akan beri dalam RM10.50 sekilo. Harga ikan siakap bersaiz antara 500 ke 600 gram mencecah RM19 sekilo dan jenis ikan pula tidak semua kami dapat jual kerana tiada bekalan.

Kenaikan harga ini bukan kita minta, tetapi memang bekalan kurang dan kalau kami minta tujuh kotak, selalu sekarang dapat lima kotak saja, katanya kepada Harian Metro. Menurutnya, jualan juga merosot sejak harga ikan naik kerana pelanggan individu tidak ramai berkunjung ke pasar, tambahan ikan dan ayam mereka boleh beli di kedai runcit disebabkan harga tidak banyak beza dengan pasar basah.

Mat berkata, pihaknya berharap kerajaan tidak hanya memantau isu kenaikan harga barang di pasar saja, tetapi perlu melakukan pemantauan di pusat bekalan utama untuk mengetahui punca kekurangan bekalan. Masalah sekarang banyak ikan dari Thailand yang masuk pasaran dan isu kekurangan bekalan menjadi alasan utama harga ikan turut naik dan kami peniaga lihat harga ikan akan terus naik selepas ini sebab bekalan memang kurang, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here