Istiadat Keberangkatan Balik Yang di-Pertuan Agong ke-16

Kuala Lumpur, Jan 30.
Istiadat Keberangkatan Balik Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Dataran Parlimen di sini berlangsung dalam suasana penuh simbolik.

Ketibaan baginda bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah jam 8.35 pagi diiringi tiupan nafiri.

Ketibaan baginda berdua disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadilah Yusof.

Sejurus selepas itu baginda berdua menerima Hormat Diraja yang diiringi lagu Negaraku dan serentak itu bendera rasmi Yang di-Pertuan Agong diturunkan.Dalam masa yang sama, tembakan 21 das meriam dilepas sepanjang lagu Negaraku berkumandang.

Al-Sultan Abdullah kemudian memeriksa Kawalan Kehormat Utama yang yang terdiri daripada 103 anggota dan empat pegawai daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja diketuai dari Mejar Adibadiuezshah Ahmad

Selesai upacara tabik hormat itu, doa dibacakan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Prof Madya Dr Luqman Abdullah.

 

Selesai itu dimainkan sekali lagi lagu Negaraku dan kemudian Perdana Menteri bersama barisan Kabinet menghadap Tuanku untuk memberi penghormatan sebagai tanda terima kasih dengan berakhirnya tugas Seri Paduka Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Turut menghadap memberikan penghormatan terima kasih adalah perwakilan asing yang hadir sebagai tetamu.

Turut hadir dalam upacara di Dataran Parlimen, adalah Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat; Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan Ketua Audit, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

Seri Paduka meninggalkan Dataran Parlimen pada 9.20 pagi untuk berangkat ke Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Lebih 3,500 rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk penjawat awam dan kakitangan swasta berbaris di kiri dan kanan jalan memberikan lambaian bagi mengucapkan selamat jalan kepada Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here