Petaling Jaya, Feb 9.
Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) mempersoalkan pembekalan komputer riba diperbaharu (refurbished) untuk sekolah Tamil oleh Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) sedangkan ia cukup dana untuk membeli peranti baharu.
“(Mitra) memperuntukkan RM3 juta untuk pembelian komputer riba. Terdapat juga peruntukan (berjumlah) sehingga RM7 juta untuk Ahli Parlimen (berbangsa India). “Kenapa beri lebih banyak peruntukan kepada Ahli Parlimen sedangkan mereka sudah dapat (dana) daripada kerajaan persekutuan? Peruntukan itu boleh digunakan untuk beli komputer riba (baharu),” kata Timbalan Presiden MIPP S. Subramaniam sambil menambah bahawa beliau menjawab aduan di media sosial.
Subramaniam berkata, komputer riba baharu mempunyai waranti maksimum sekurang-kurangnya tiga tahun, manakala hanya maksimum setahun bagi peranti yang diperbaharu. Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru SJK (T) Ladang Emerald K.Thayalan Krisnasamy bersetuju dengan Subramaniam dengan berkata, persatuan itu telah memulangkan semua komputer riba diperbaharu diterima daripada Mitra kerana peranti-peranti tersebut tidak berfungsi.
“Mereka beri kami kira-kira 50 komputer riba yang diperbaharu. Saya cadangkan mereka beri hanya 10 komputer riba baharu, cukuplah,” katanya.
Thayalan juga mendakwa, kebanyakan sekolah Tamil mengalami masalah yang sama dengan komputer riba pemberian Mitra.
“Sekolah-sekolah lain juga berdepan isu yang sama, dan lebih suka jika mendapat komputer riba baharu berbanding komputer riba diperbaharu yang tidak boleh digunakan,” katanya.





















