Guna kad pengenalan palsu jadi guru 29 tahun

Keningau, Feb 22.
Seorang lelaki dipenjara 10 bulan dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan menggunakan kad pengenalan palsu untuk bekerja sebagai guru di sebuah sekolah di Tenom dekat sini, sejak 29 tahun lalu.

Majistret Nur Asyraf Zolhani menjatuhkan hukuman itu terhadap Ridal Abdul Kadir, 53, selepas tertuduh mengaku bersalah.

Ridal diarah menjalani hukuman berkenaan dari tarikh tangkap pada 29 Januari lalu dan sekiranya gagal membayar denda akan dikenakan penjara tambahan selama enam bulan. Tertuduh membayar denda berkenaan.

Mengikut fakta kes, pada 11.30 pagi, 29 Januari lalu satu pemeriksaan dokumen telah dijalankan di kawasan letak kenderaan, kuarters guru sekolah berkenaan sebelum tertuduh ditahan kerana disyaki memiliki kad pengenalan palsu bernombor 700711-12-5369 atas nama Ridal Bin Abdul Kadir.

Semakan lanjut dibuat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendapati tertuduh disyaki menggunakan kad pengenalan bertaraf warganegara yang palsu dengan nombor dan nama tersebut untuk bekerja sebagai guru di sekolah itu.

Semakan rekod mendapati kad pengenalan dengan nombor dan nama sama pernah dikeluarkan oleh JPN, bagaimanapun, dengan taraf Pemastautin Sementara.

Semakan juga mendapati tertuduh memiliki Dokumen Pengenalan Sementara dengan nombor serta nama sama dan Daftar Kelahiran bertaraf bukan warganegara sebagai dokumen pengenalan dirinya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here