Nibong Tebal, Jun-
Tiada sekolah yang terkecuali dalam melaksanakan Program Dwibahasa (DLP) bagi subjek Sains dan Matematik menggunakan Bahasa Melayu.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, semua sekolah termasuk sekolah berasrama penuh perlu mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan berhubung pelaksanaan program berkenaan.
Menurutnya, pelaksanaan DLP mesti mematuhi dasar ‘Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI)’ serta berusaha mencapai matlamat negara tanpa mengabaikan hak pelajar untuk belajar Matematik dan Sains dalam Bahasa Malaysia atau bahasa ibunda mereka di sekolah vernakular.
“Mana-mana sekolah yang ada masalah dengan pelaksanaan garis panduan itu, kita akan turun dan bantu sekolah tersebut untuk melaksanakannya,”katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kenyataan Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE), Noor Azimah Abdul Rahim yang menyatakan sekolah elit seperti Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan Kolej Tunku Kurshiah dikecualikan daripada peraturan baharu DLP.