Kuala Lumpur, Jan-
Polis menahan empat individu kerana dipercayai terlibat dalam kejadian memukul seorang lelaki di Semenyih, selepas video kejadian itu tular di media sosial.
Ketua Polis Kajang, Naazron Abdul Yusof berkata, dua daripada suspek ditahan pada 8 dan 12 Jan lalu manakala dua lagi ditahan hari ini serta akan direman esok.
Katanya, semua suspek berusia antara 32 hingga 36 tahun dan tiga daripada mereka mempunyai rekod berkaitan dadah dan jenayah.
“Siasatan mendapati kejadian berlaku pada 29 Dis lalu pada jam 5.45 petang.
“Kes ini masih dalam siasatan polis bagi mengetahui punca sebenar kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam video tular itu, seorang lelaki dilihat memegang seorang lagi lelaki di belakang deretan rumah kedai.
Beberapa lelaki lain pula mengelilingi lelaki itu dan seorang dilihat memukul mangsa dengan menggunakan pengunci stereng kereta.