Muar, Mac-
Mahkamah Tinggi di sini, hari ini mengetepikan denda RM6,000 yang dikenakan Mahkamah Sesyen terhadap seorang pekerja pembersihan yang mengaku bersalah merakam dan memiliki 18 rakaman video bogel dan beberapa keping gambar bogel anak tirinya sedang mandi di rumahnya, tahun lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid, sebaliknya memutuskan bahawa hukuman itu digantikan dengan penjara selama enam bulan yang berkuat kuasa mulai hari ini.
Dalam penghakimannya, Meor Hashimi berkata, denda yang dikenakan Mahkamah Sesyen pada 19 Mac lalu adalah tidak setimpal dengan kesalahan dilakukan tertuduh.
“Kesalahan mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017, adalah serius. Sebagai bapa tiri, tertuduh sepatutnya melindungi mangsa daripada perbuatan tidak bertanggungjawab.
“Perbuatan tertuduh meninggalkan kesan dan trauma berpanjangan kepada mangsa, mahkamah menganggap tertuduh perlu dikenakan hukuman sewajarnya.”Hukuman ini diputuskan setelah mengambil kira kepentingan awam serta pengajaran kepada masyarakat.
Selain itu, mahkamah memerintahkan denda RM6,000 yang dibayar tertuduh dipulangkan semula,” katanya.
Pada 19 Mac lalu, tertuduh berusia 56 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan mengaku bersalah sebelum Hakim, Nariman Badruddin, mengenakan denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki bahan penganiayaan seksual kanak-kanak iaitu 18 rakaman video dan beberapa keping gambar bogel anak tiri berusia 15 tahun yang sedang mandi.





















