Kuala Lumpur, Mei-
Siasatan polis berkaitan kes kehilangan Pamela Ling Yueh sejak 9 April lalu, setakat ini menjurus kepada kemungkinan suaminya serta beberapa individu lain sebagai suspek.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan masih berjalan dan setakat ini pihaknya tidak menolak kemungkinan suami kepada wanita terbabit adalah suspek selain beberapa individu lain.
Buat masa ini, kemungkinan (suami Pamela sebagai suspek) dan mungkin ada orang lain.
“Siasatan masih belum (lengkap) lagi dan kita percaya ada orang lain kita ambil sebagai suspek juga,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) PDRM 2024 di Bukit Aman, di sini, pada Selasa.
Razarudin berkata, setakat ini seramai 16 individu telah diambil keterangan termasuk suami kepada Pamela.”Pemeriksaan lanjut mendapati suami kepada Pamela masih berada dalam negara,” katanya.
Ketika ditanya kemungkinan Pamela masih berada di dalam negara, beliau berkata, perkara itu masih dalam siasatan dan tidak boleh didedahkan.
“Perkara itu masih dalam siasatan, kita tidak boleh buat kesimpulan. Buat masa ini motif kejadian belum diketahui,” katanya.
Menurut Razarudin, beliau telah mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah menubuhkan pasukan khas bagi siasatan kes culik ini.
Pamela dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan untuk memberikan keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekitar jam 1.30 petang hingga 2.10 petang.
SPRM dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa Pamela telah dipanggil hadir ke ibu pejabatnya pada tarikh berkenaan, namun tidak muncul seperti dijadualkan.
Peguamnya juga telah membuat laporan polis pada hari yang sama.





















