Agensi kerajaan Persekutuan yang memerlukan Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska), terutama yang mempunyai kakitangan bekerja secara syif, diseru supaya memohon dana yang diperuntuk kerajaan dalam Belanjawan 2020.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata sehingga kini hanya 36 agensi yang memohon peruntukan berjumlah RM30 juta katanya pada sidang media selepas merasmikan Taska Parlimen Malaysia di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof.
Terdahulu dalam ucapannya, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata peruntukan itu dijangka dapat menambah 150 Taska di tempat kerja sektor awam di seluruh negara, tahun ini, berbanding 64 buah dengan peruntukan sebanyak RM10 juta, tahun lepas.
Menurutnya sehingga bulan lepas, sebanyak 241 Taska sudah beroperasi di tempat kerja bagi sektor awam.
Jelasnya, statistik menunjukkan jumlah wanita yang berkahwin dan bekerja meningkat setiap tahun dengan jumlah terkini sehingga suku ketiga tahun lepas ialah 3.65 juta, meningkat daripada 3.54 juta tahun sebelumnya dan 3.41 juta pada tahun 2017.