Dalam kenyataan media 11 muka surat, Thomas memutuskan tiada prospek yang jelas untuk sabitan terhadap mana-mana 12 tertuduh ke atas mana-mana 34 pertuduhan yang dihadapi mereka.
“Oleh yang demikian dalam menjalankan kuasa budi bicara saya menurut Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan, saya telah memutuskan untuk menghentikan prosiding terhadap mereka berkuat kuasa serta-merta,” katanya.
Menjelaskan keputusannya itu, Thomas berkata kesemua 12 tertuduh LTTE mempunyai tema umum, setiap seorang daripada mereka mempunyai dalam telefon bimbit atau akaun Facebook mereka, gambar pemimpin LTTE seperti Velupillai Prabhakaran dan pemimpin lain LTTE yang dibunuh semasa Perang Saudara di Sri Lanka.
Beliau berkata sekiranya perbuatan sedemikian boleh terjumlah sebagai satu kesalahan jenayah, ia akan meletakkan undang-undang ke tempat yang tidak dihormati.
Dua belas tertuduh itu adalah anggota DAP, V. Suresh Kumar, 44; ahli perniagaan, B. Subramaniam, 58; penjaga stor, S. Thanagaraj, 27; ADUN Gadek, G. Saminathan, 35; ADUN Seremban Jaya P. Gunasekaren, 61; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau di Melaka, S. Chandru, 39; juruteknik, S. Arivainthan, 28; pengawal keselamatan, M. Pumugan, 30; guru sekolah menengah di Telok Panglima Garang, Selangor, Sundram Renggan @ Rengasamy, 53; pemandu teksi V. Balamurugan, 38; pengutip besi buruk A. Kalaimughilan, 29; dan penghantar surat S.Teeran, 39.
Kesemua mereka ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan ditempatkan di Penjara Sungai Buloh sementara menunggu perbicaraan. Di bawah SOSMA, mereka tidak dibenar diikat jamin.
Mereka didakwa pada Oktober 2019.