Negri menunggu KKM beri SOP sebelum membenarkan pendandan rambut, ahli optik membuka semula

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan meminta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menetapkan satu prosedur operasi standard (SOP) bagi perkhidmatan kedai cermin mata dan gunting rambut asas.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata ini kerana kedua-dua perkhidmatan dilihat berurus niaga secara terus dengan masyarakat tanpa ada jarakan sosial yang digariskan KKM bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.

“Kita harap ada satu garis panduan dikeluarkan kerana ia melibatkan terus dengan masyarakat dan harap ada SOP ditetapkan dahulu, baru kita akan benarkan (beroperasi).

“Kedai gunting rambut perlu ada SOP yang lebih ketat daripada kementerian sebab ini kontak langsung yang paling rapat tanpa ada jarakan sosial,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mengenai pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga di kediaman rasmi Menteri Besar di sini.

Kedai cermin mata MURAH GILE ! - The Secret Book of Me

Beliau berkata sebagai contoh, perkhidmatan gunting rambut yang membabitkan peralatan digunakan semula dan sama ada pelanggan yang mendapatkan perkhidmatan itu perlu mendaftar nama serta alamat mereka.

Negeri Sembilan turut menyambut baik keputusan kerajaan membenarkan beberapa sektor tambahan serta perkhidmatan terpilih beroperasi secara berperingkat semasa penguatkuasaan PKP yang dilanjutkan sehingga 28 April ini.

Sementara itu, Aminuddin berkata gaji sejumlah 6,802 penjawat awam tetap dan kontrak di negeri tersebut yang sepatutnya diterima pada 23 April diawalkan kepada 20 April.

Beliau berkata bayaran penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan turut diawalkan pada 21 April membabitkan sejumlah 25,600 orang yang direkodkan di Negeri Sembilan.

Dalam perkembangan lain, Negeri Sembilan membelanjakan sebanyak RM2.5 juta bagi kemudahan pusat kuarantin di negeri tersebut iaitu Institut Aminuddin Baki dan Akademi Audit Negara di Bandar Enstek, Nilai serta Institut Latihan KKM (Kolej Pembantu Perubatan Seremban).

Kerajaan negeri juga menerima sumbangan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara berjumlah RM2 juta, katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here