Kuasa simbol tiga jari di Thailand

Payung sebagai ‘perisai’ dan isyarat tangan mewakili simbol lima tuntutan oleh kumpulan protes di Hong Kong telah dijadikan inspirasi oleh gerakan prodemokrasi di Thailand sepanjang tiga bulan bantahan mega berlangsung di negara itu.

Imej memaparkan gelagat aktivis memakai gogal, topeng muka gas ketika bertempur dengan pihak berkuasa jelas menggunakan taktik sama yang diguna pakai oleh kumpulan protes di Hong Kong pada tahun lalu.

Selain itu, mereka juga menggunakan beberapa bahasa tubuh untuk berkomunikasi antara satu sama lain seperti digunakan gerakan antikerajaan di hab kewangan Asia terbabit dan simbol hormat tiga jari sebagai isyarat penentangan yang dipaparkan menerusi filem The Hunger Games.

Sejak minggu lalu, Perdana Menteri, Prayut Chan-o-cha terus berdepan desakan untuk meletak jawatan yang menyaksikan gerakan protes itu bertindak melanggar perintah darurat walaupun kerajaan mengisytiharkan langkah itu bagi melarang sebarang perhimpunan diadakan.

Semalam, protes mega yang masuk hari keenam itu semakin mendapat momentum selepas penahanan beberapa aktivis terkenal selain pihak berkuasa mula menggunakan meriam air ke atas penunjuk perasaan buat pertama kali pada Jumaat lalu.

Tindakan tegas polis tidak mematahkan semangat mereka untuk mencapai matlamat bagi menggulingkan Prayut dan menuntut pembaharuan monarki selepas kumpulan protes terbabit tetap berhimpun di tengah Bangkok sambil melaungkan slogan ‘terus berjuang’.

Gerakan prodemokrasi itu turut mendapat sokongan daripada golongan aktivis muda di Hong Kong dan Taiwan yang menggelarkan diri mereka sebagai Pakatan Teh Susu (Milk Tea Alliance) di media sosial kerana minuman tersebut popular di ketiga-tiga tempat berkenaan.

Polis dalam satu kenyataan memaklumkan mereka telah mengarahkan siasatan dilancarkan ke atas empat rangkaian berita dan mengesahkan penggantungan Voice TV yang beroperasi secara dalam talian kerana melanggar Akta Jenayah Komputer dengan memuat naik maklumat palsu.

Selain itu, mahkamah telah membenarkan ikat jamin terhadap 19 aktivis yang ditahan pada minggu lalu, namun mereka yang dibebaskan tidak termasuk pemimpin utama gerakan protes terbabit.

Dalam perkembangan berkaitan, Kabinet Thailand menyokong cadangan untuk mengadakan sesi khas di Parlimen bagi membincangkan isu protes antikerajaan yang melanda ibu negara dan beberapa bandar utama sejak beberapa minggu lalu.

Menteri untuk Pejabat Perdana Menteri, Anucha Nakasai hari ini berkata, sidang tersebut akan berlangsung selama dua hari bermula Isnin depan, namun ia masih belum mendapat perkenan Raja Maha Vajiralongkorn.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here