Pencemaran air: Empat termasuk seorang wanita ditahan

Seramai empat individu termasuk seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pencemaran yang dikesan di Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, kesemua individu itu ditahan secara berasingan di Gombak, Damansara dan Kelana Jaya sejak tengah malam hingga awal pagi tadi.

“Kita menahan empat individu termasuk seorang lelaki warga Bangladesh berusia dalam lingkungan 33 hingga 43 tahun.

“Siasatan awal mendapati wanita berkenaan adalah penama yang didaftarkan dalam Suruhanjaya Syarikat Malaysia serta menyewa premis di Rawang manakala seorang lelaki dan pekerjanya, seorang lelaki Bangladesh menumpang stok bahan bahan kimia di premis sewaan tersebut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Fadzil berkata, pihaknya percaya terdapat aktiviti membuang sisa kimia ke dalam satu lubang kumbahan di premis yang disyaki itu, menyebabkannya terus mengalir ke kawasan tercemar.

“Kita akan mohon reman terhadap kesemua individu berkenaan di Mahkamah Selayang pagi ini bagi membantu siasatan,” katanya.

Terdahulu, empat LRA iaitu fasa satu, dua dan tiga serta Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas selepas pencemaran bau seakan-akan pelarut yang dikesan di Sungai Selangor sekitar 12.20 hingga 12.45 tengah hari.

Susulan itu, Air Selangor dalam kenyataan memaklumkan, sebanyak 1,139,008 akaun merangkumi 1,279 kawasan sekitar Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat mengalami gangguan bekalan air.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here