Sembilan termasuk warga UK dikompaun ketika jalani yoga

Sembilan wanita termasuk seorang warga United Kingdom dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sebuah pusat latihan yoga di Desa Sri Hartamas di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin@Hilmi berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang awam berkenaan penganjur persendirian pusat yoga dalam rumah tersebut pada jam 8.50 pagi.

“Dalam pemeriksaan tersebut, pihak penganjur tidak memberikan kerjasama dan cuba mempertikaikan tindakan pihak polis melaksanakan pemeriksaan serta pemantauan SOP pematuhan PKPB di rumah tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zairulnizam berkata, pihaknya mendapati premis tersebut adalah milik persendirian yang dijadikan pusat latihan yoga yang tidak mematuhi syarat-syarat PKPB.

“Kesemua individu berusia dalam lingkungan 40 hingga 60 tahun berkenaan bukan dari keluarga sama.

“Mereka merupakan peserta mengikuti aktiviti yoga yang tiada penjarakkan sosial (fizikal) di dalam premis berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, kesemua wanita itu dibawa ke Balai Polis Sri Hartamas untuk tindakan kompaun RM1,000 setiap seorang atas kesalahan di bawah Peraturan 11 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (Langkah- langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

“Seorang penjaga premis atau penganjur berusia 37 tahun turut disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here