Ramai kembali guna Feri

Susulan pengumuman penamatan perkhidmatan feri yang menghubungkan bahagian pulau dan tanah besar Pulau Pinang bermula 1 Jan ini, jumlah pengguna, khususnya pemandu kenderaan empat roda yang menggunakan perkhidmatan itu dilihat bertambah agak ketara hari ini.

Tinjauan Bernama mendapati bilangan kenderaan jenis itu di atas feri kekal banyak berbanding sebelum ini, sekalipun bukan pada waktu puncak.

Seorang pengguna, Mohd Rizikam Milan Md Hasbullah, 35, berkata dia mahu memberi peluang kepada anak-anaknya merasai sendiri pengalaman menaiki feri yang sememangnya sinonim dengan Pulau Pinang selepas mengetahui perkhidmatan tersebut bakal ditamatkan.

“Saya menetap di Selangor, namun saya dan isteri berasal dari negeri ini, jadi sejak kecil memang selalu naik feri. Bila dapat tahu akan dihentikan, rasa sedikit kecewa. Sebab itu hari ini saya pilih naik feri untuk balik ke Selangor walaupun sebelum ini kami gunakan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah,” katanya.

Perkhidmatan feri Pulau Pinang akan dihentikan bermula 1 Jan depan dan digantikan dengan bot penumpang laju yang hanya membawa pejalan kaki serta penunggang basikal dan motosikal.

Seorang pemandu lori, Tan Kean Meng, 70, berkata dia menggunakan feri hampir setiap hari untuk berulang-alik menghantar barangan sejak 10 tahun lalu dan penamatan perkhidmatan itu akan meningkatkan kos antara RM8 dan RM10 bagi setiap perjalanannya kerana menggunakan jambatan.

“Sedih dengar orang beritahu feri sudah tidak bawa kenderaan lagi tahun depan. Pengangkutan ini lebih mudah, senang dan jimat untuk saya berulang-alik dari tanah besar ke sini (bahagian pulau). Feri adalah lambang negeri ini, tapi apa boleh buat, kita kena ikutlah kerana itu keputusan mereka,” katanya.

Seorang pekerja hotel di Batu Feringghi yang tinggal di Teluk Bahang, Norida Rosli, 33, pula berkata dia mengambil cuti hari ini untuk membawa keluarga menaiki feri ke Butterworth kerana tidak mahu melepaskan peluang menaiki perkhidmatan itu buat kali terakhir.

“Rasa kehilangan bila dapat tahu feri akan dihentikan, kami akan rindulah… jadi hari ini ambil peluang untuk bawa keluarga naik feri,” katanya yang terpaksa menunggu lebih sejam untuk menaiki feri itu hari ini.

Seorang pejalan kaki, Ani Wahab, 67, berkata dia menggunakan perkhidmatan itu sejak 30 tahun lepas untuk berulang-alik ke tempat kerja di Pangkalan Raja Tun Uda di sini.

Menurut wanita yang tinggal di Sungai Petani, Kedah itu, menaiki feri merupakan pengalaman yang menyeronokkan dan berharap dapat merasai pengalaman serupa apabila menggunakan perkhidmatan bot laju kelak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here