Kerajaan Kedah digesa ‘tidak bunuh angsa bertelur emas’

Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar membantah keras cadangan menambak tanah seluas 2,000 ekar di perairan Langkawi, Kedah, dengan berkata, ia akan memusnahkan keindahan semula jadi dan keaslian perairan pulau itu.

Wakil Sahabat Alam Malaysia (SAM) di Kedah, Mohd Azmi Hamid berkata, kerja tambakan laut di Langkawi tidak sepatutnya dilakukan kerana ia ibarat membunuh angsa yang bertelur emas, iaitu keindahan semula jadi pulau itu.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang berkata, kerajaannya akan bekerjasama dengan sebuah syarikat berpangkalan di Kuala Lumpur untuk melaksanakan projek tersebut dalam masa 10 hingga 15 tahun di Padang Mat Sirat.

Bercakap kepada FMT, Azmi berkata, projek penambakan akan memusnahkan ekosistem laut dan hutan paya bakau yang berharga dalam jangka masa panjang.

Azmi berkata, selain impak kepada alam sekitar, impak sosial juga besar.

“Nelayan pasti akan mengalami kerugian kerana hasil tangkapan mereka berkurang. Adakah penduduk tempatan boleh membeli rumah di pulau baharu itu atau mereka perlu membuka jalan kepada orang luar?” soalnya.

Azmi berkata, kerajaan Kedah perlu menjelaskan rasional di sebalik projek sedemikian dan apakah kebenaran relevan telah diperoleh daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Sementara itu, Presiden SAM, Meenakshi Raman berkata, projek penambakan laut itu merupakan suatu kejutan kerana Kedah kaya dengan tanah.

Beliau berkata, negeri itu mesti menimbangkan implikasi kewangan pelaksanakan projek besar sedemikian.

“Kami kecewa projek yang dicadangkan oleh kerajaan Kedah sehingga kini, iaitu dari eksplorasi elemen nadir bumi (REE), pembalakan dan sekarang, penambakan laut. Wujud ‘kegilaan’ dalam pemikiran (kerajaan) sekarang.

Meenakshi Raman.

“Kita perlu belajar daripada kegagalan projek penambakan mega, dengan banyak contoh yang tidak terlalu jauh.

“Hanya kerana pelabur datang memujuk, anda tidak boleh memberi komitmen untuk membina projek ‘gajah putih’.

“Kami gesa fikir semula. Wang harus disalurkan untuk projek yang mesra alam dan bermanfaat, bukan membazir. ”

Semalam, kerajaan Kedah mendedahkan rancangan untuk menambak laut sebuah pulau di perairan Langkawi dan menjadikannya kawasan pembangunan campuran dengan nilai pembangunan kasar RM40 bilion.

Ia menandatangani perjanjian usaha sama dengan Widad Business Group Sdn Bhd (WBG) yang berpangkalan di Kuala Lumpur bagi projek di Padang Mat Sirat berhampiran lapangan terbang.

Projek itu melibatkan tanah seluas 1,979 ekar, dengan 90% daripadanya merupakan pulau buatan di perairan tersebut.

Sebaik siap, pulau itu akan mempunyai pembangunan mewah seperti hotel, pejabat dan menara perniagaan, kompleks membeli-belah, hospital dan universiti.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here