Hari ini genap setahun negara dibadai COVID-19

Hari ini genaplah setahun negara dibadai pandemik COVID-19, apabila kes pertama membabitkan tiga warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura, dilaporkan pada 25 Januari 2020.

Ketika gelombang pertama, ia melibatkan majoriti kes import dan bukan rakyat Malaysia, manakala gelombang kedua jangkitan pula berlaku melibatkan penularan tempatan, dengan kes pertama COVID-19 dilaporkan pada 4 Februari 2020.

Susulan gelombang kedua, kerajaan telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac tahun lepas dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, dan setelah beberapa bulan apabila jangkitan menunjukkan penurunan, kerajaan mula melonggarkan sedikit SOP dengan pengenalan PKP Bersyarat (PKP) mulai 4 Mei, diikuti lebih banyak kelonggaran menerusi PKP Pemulihan (PKPP) mulai 10 Jun.

Namun akibat sedikit kealpaan sahaja, virus itu kembali mengganas untuk gelombang ketiga dan kerajaan terpaksa melaksanakan semula PKPB di kebanyakan negeri mulai Oktober lepas, dan apabila kes semakin meningkat tahun ini, kerajaan terpaksa melakukan semula PKP bermula dengan enam negeri dan kemudian di seluruh negara kecuali Sarawak.

Sehingga kelmarin (23 Januari), kumulatif kes dilaporkan adalah 180,455 kes dengan kes aktif 42,769, bermakna negara dijangka terus mencatatkan angka harian tinggi dan 667 kematian telah dicatatkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here