Tidak perlu had 80 MP untuk sesi parlimen akhir bulan ini, kata gabungan NGO

Sidang Parlimen yang dijadual diadakan pada 26 Julai sepatutnya membenarkan kehadiran semua ahli Parlimen, menurut gabungan NGO yang dinamakan sebagai Komuniti Perintis untuk Parlimen Profesional.

Gesaan itu susulan kenyataan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Mohd Rashid Hasnon bahawa pihaknya sedang menimbang untuk mengehadkan hanya 80 ahli parlimen dalam Dewan Rakyat ketika sidang diadakan.

Tidak seperti sidang Parlimen lepas, gabungan NGO tersebut berkata had itu tidak lagi relevan memandangkan semua ahli parlimen sudah menerima vaksin Covid-19. Lebih-lebih lagi dilaporkan hampir semua kakitangan parlimen, termasuk staf yang mengiringi ahli parlimen layak menerima suntikan awal vaksin yang mana sepenuhnya akan selesai menjelang persidangan hujung Julai ini.

Menurut mereka, negara kini berdepan pelbagai isu dan masalah yang tidak dapat dibahas memandangkan parlimen sudah tidak bersidang selama tujuh bulan.

Kata mereka lagi, perintah kawalan pergerakan, Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan proklamasi darurat pula setakat ini tidak dapat menyelesaikan wabak Covid-19 dan dampak ekonomi yang dibawanya. Inilah masanya ahli parlimen diberi ruang seluas-luasnya untuk membawa segala resah rakyat sekaligus sama-sama menawarkan solusi terbaik untuknya, kata mereka.

Mereka menggesa kerajaan mengambil contoh negara lain yang tetap mengadakan sidang parlimen ketika penularan wabak itu, dengan meminda peraturan mesyuarat dan menggunakan kaedah sidang hibrid.

“Ahli-ahli parlimen diingatkan bahawa persediaan untuk persidangan hibrid atau maya tidak perlu sehingga menyekat kuasa ahli parlimen termasuk mengundi dan tidak harus ditakuti sebagai dalih untuk menundakan sidang parlimen yang akan datang,” kata mereka.

Justeru, mereka menggesa Dewan Rakyat dan Dewan Negara membolehkan jawatankuasa yang bertanggungjawab untuk menyediakan pindaan peraturan yang perlu untuk membolehkan sidang secara hibrid diadakan, dan meluluskannya pada sidang akan datang.

Kami sekali lagi ingin menegaskan semua ahli parlimen yang dipilih rakyat adalah anggota barisan hadapan negara dan harapan rakyat yang mesti diberi peranan serta harus berperanan utama dalam situasi genting ini melawan tragedi pandemik ini, kata mereka lagi. Terdahulu, Rashid berkata soal had 80 ahli parlimen akan dibincangkan dengan ketua whip parti politik dan akan diputuskan tidak lama lagi.

Cadangan itu sama seperti sidang sebelum ini, di mana hanya 80 daripada 222 ahli parlimen dibolehkan menyertai sidang pada satu-satu masa. Menurut Rashid lagi, peruntukan penyertaan yang ditetapkan adalah 44 ahli parlimen kerajaan dan 36 daripada pembangkang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here