IBU DITEMUKAN MENINGGAL DUNIA DALAM RUMAH

Kota Kinabalu, Sept 10-

Kebimbangan seorang anak terhadap keadaan ibunya selepas panggilan telefonnya tidak berbalas berakhir tragedi apabila wanita itu ditemukan meninggal dunia di rumahnya di Taman Jaya Diri, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, Jumiah Suradi, 65, yang tinggal seorang diri ditemukan meninggal dunia selepas bomba memecahkan pintu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 4.37 petang untuk menjalankan operasi memecah pintu masuk.

Katanya, sebaik dibuka, mangsa ditemukan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Difahamkan, anak mangsa cuba menghubunginya sejak semalam tetapi gagal dan sebelum itu mangsa ada mengadu sakit dan sesak nafas.

“Anak mangsa minta pertolongan daripada jiran untuk melihat keadaan ibunya namun mendapati pintu terkunci serta tiada jawapan dari mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Agustavia berkata, mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, di kawasan perumahan sama, seorang lelaki berusia 80 tahun terpaksa dibantu dengan bantuan pernafasan kecemasan (CPR).

Agustavia berkata, mangsa didapati tidak sedarkan diri namun pemeriksaan lanjut mendapati masih terdapat denyutan nadi.

Katanya, pihak KKM kemudiannya berusaha menyelamatkan mangsa sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here