SPRM mesti membuat laporan polis mengenai kes 6 pegawai menyalahgunakan kuasa yang melibatkan RM25 juta – TM -I

Transparency International Malaysia (TI-M) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya membuat laporan polis dan membenarkan siasatan jenayah dijalankan terhadap tiga pegawainya yang didakwa terbabit dalam aktiviti salah guna kuasa dan penyelewengan membabitkan wang AS$6 juta (kira-kira RM25 juta).

Menyifatkan langkah itu mungkin lebih bijaksana, TI-M pada kenyataan hari ini berkata, kesalahan menyalahgunakan harta yang diamanahkan kepada penjawat awam secara jelas berada di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan (Pecah amanah jenayah oleh penjawat awam atau ejen) dan tertakluk kepada bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, TI-M yang terkejut dengan penahanan tiga pegawai itu turut berkongsi persoalan dibangkit beberapa ahli parlimen kenapa SPRM sendiri yang membuat siasatan dan bukannya diserah kepada polis. Laporan Global Corruption Barometer (GCB) 2020 menekankan bahawa penilaian kepercayaan rakyat Malaysia terhadap SPRM adalah 74 peratus.

Jumlah ini secara langsung berkaitan dengan persepsi rasuah dalam kerajaan dan perkhidmatan awam serta keyakinan rakyat Malaysia dalam melaporkan kejadian rasuah kepada agensi penguatkuasaan undang-undang. Kejadian seperti di atas, ditambah dengan kurangnya ketelusan dan proses sewajarnya dalam menangani tuduhan terbabit, hanya akan mencemarkan lagi imej SPRM katanya.

Menurut kenyataan, Seksyen 409 Kanun Keseksaan menyatakan: ‘Barang siapa, yang dengan apa-apa cara telah diamanahkan dengan harta atau dengan apa-apa kuasa atas harta, atas sifatnya sebagai seorang penjawat awam atau seorang ejen, melakukan pecah amanah jenayah mengenai harta itu, hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh tidak kurang dari dua tahun dan tidak lebih dari 20 tahun dan dengan sebatan, dan bolehlah juga dikenakan denda’.

Isnin lalu, SPRM mengesahkan tiga pegawainya ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes membabitkan bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Datuk Hasanah Abdul Hamid. Suruhanjaya itu turut memaklumkan, ketiga-tiga pegawai sudah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk permohonan reman selama enam hari bermula 14 September lalu. SPRM juga menegaskan tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pegawainya yang terbabit dalam jenayah.

Sementara itu, TI-M menyatakan, pihaknya bersama masyarakat sivil sudah lama menganjurkan supaya SPRM dijadikan suruhanjaya perlembagaan yang secara langsung dipertanggungjawabkan kepada parlimen, bukan hanya kepada menteri kabinet.

Katanya, dengan cara itu, pengawasan yang lebih meluas dan bebas dapat dibuat terhadap SPRM. Kejadian seperti itu mungkin bukan kes terpencil dan kebocoran sedemikian, jika tidak ditangani dengan cukup dan pantas, akan memberi mesej yang salah kepada masyarakat tempatan dan antarabangsa. Ia juga akan memberi kesan negatif kepada Skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia di masa depan. Rakyat berhak mendapat SPRM yang bebas serta bertanggungjawab atas tindakannya, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here