Pesara guru komplot jual barang kemas disamun anak perempuan

Alor Gajah, Okt-
Seorang pesara guru wanita sanggup berkomplot bersama anak perempuannya dan kekasih menjual barang kemas bernilai lebih RM50,000 yang dilarikan di beberapa buah kedai emas termasuk di daerah ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Azrul Mohamad berkata, tindakan ketiga-tiga suspek berusia 61 hingga 26 tahun itu terbongkar selepas ditahan Polis Selangor pada 5 Oktober lalu.

Menurutnya, modus operandi mereka yang mana suspek wanita berusia 26 tahun dan bekerja sebagai pembantu pengurus akan menyamar sebagai pelanggan kedai emas dengan memakai cermin mata hitam sebelum melarikan barang kemas.

Katanya, manakala kekasih kepada wanita itu yang juga berusia 26 tahun, akan menunggu di dalam kereta dan kemudian warga emas itu akan menjual hasil barang kemas yang dilarikan oleh anaknya.

“Ketiga-tiga suspek dipercayai melakukan kegiatan ini sejak Julai lalu membabitkan tujuh kes di tiga buah negeri termasuk Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan.

“Hasil siasatan terhadap pasangan kekasih itu mereka mengaku melakukan jenayah di tiga buah kedai emas di daerah ini iaitu di Masjid Tanah, Alor Gajah dan Pulau Sebang selain Selangor dan Negeri Sembilan,” katanya  di sini, pada Jumaat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here