Muar, Nov-
Buruh yang didakwa membakar sebuah rumah ibadat di Tangkak, Julai lalu dipenjara 48 bulan atau empat tahun serta denda RM10,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Hukuman penjara meningkat kepada 52 bulan susulan tertuduh gagal membayar denda.
Hakim, Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Nizam A Rahman, 32, selepas dia berubah fikiran dengan mengaku bersalah sebelum pertuduhan dibaca terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan khianat dengan api yang menyebabkan kebinasaan terhadap sebuah rumah ibadat, di Kebun Baru, Tangkak, pada jam 3.30 pagi, 15 Julai lalu.
Berdasarkan fakta kes, polis menerima laporan daripada orang awam berhubung kejadian sebuah rumah ibadat dibakar individu tidak dikenali.
Pada hari kejadian, tertuduh dilaporkan membawa diesel dari rumahnya tidak jauh dari lokasi lalu menyimbah ke arah rumah ibadat terbabit.
Tertuduh kemudian menyala api menyebabkan rumah ibadat itu terbakar. Secara kebetulan, rumah ibadat itu terletak di tepi jalan dan orang ramai melalui lokasi sempat menghubungi talian kecemasan.