George Town, Dis-
Bekas pengarah eksekutif dan CEO Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB) M.Ramachandran direman enam hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Majistret Nadratun Naim Saidi membenarkan permohonan SPRM, walaupun ia pada mulanya memohon perintah reman tujuh hari.
Peguam R. Roshunraj mewakili Ramachandran membantah perintah reman di Mahkamah Majistret di sini atas alasan masalah kesihatan dialami anak guamnya dan menyifatkan reman tujuh hari keterlaluan.
Beliau berkata anak guamnya menghidap diabetes, hipertensi dan rinitis alergi yang memerlukan ubat khusus.
Menurutnya, Ramachandran dibawa dari rumahnya di Perai ke pejabat SPRM di Jalan Sultan Ahmad Shah pada 8 pagi semalam untuk disoal siasat, sebelum ditahan kira-kira sejam kemudian.
Katanya, beliau akan mencabar perintah reman di Mahkamah Tinggi dengan perakuan segera kerana anak guamnya tidak patut dikenakan tahanan berpanjangan.
“Kami akan memfailkan semakan di Mahkamah Tinggi kerana tempoh reman ini tidak perlu dan keterlaluan, khasnya mengambil kira keadaan kesihatan anak guam saya,” katanya ketika dihubungi.
Roshunraj berkata, SPRM sedang menyiasat Ramachandran di bawah Seksyen 23 Akta SPRM membabitkan penyalahgunaan jawatan atau kedudukan untuk manfaat peribadi.
Menurutnya, butiran siasatan belum didedahkan, tetapi dipercayai ada kaitan dakwaan penyalahgunaan dana untuk projek pedati emas Thaipusam.