Seremban, Jan –
Sepasang suami isteri direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes penderaan kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Nurul Azuin Mohd. Talhah di Mahkamah Majistret terhadap dua suspek berusia 22 dan 30 tahun yang berasal dari Sabah itu di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, permohonan reman itu dibuat bagi membolehkan pihaknya menjalankan siasatan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.
Semalam, media melaporkan polis menahan sepasang suami isteri selepas seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun ditemui dalam keadaan ketakutan dan kelaparan di hadapan sebuah kedai serbaneka berhampiran Desa Melati.





















