Apakah relevannya sekolah dibuka hari ini (1 Mac) sedangkan kes harian baharu Covid-19 masih lagi dalam lingkungan empat angka dan belum lagi menampakkan tanda ia berkurangan?
Itu antara persoalan utama serta keluhan para netizen yang membanjiri ruangan komen media sosial dan Facebook Kementerian Pendidikan (KPM) sejurus pengumuman pembukaan sekolah dan pelaksanaan sesi pembelajaran bersemuka secara berperingkat bermula hari ini.
Bagi mereka, pihak kementerian wajar mengambil kira kes semasa Covid-19 yang masih lagi tinggi dan menganggap sesi persekolahan secara bersemuka amat tidak sesuai diadakan buat masa sekarang.
Ada juga yang mengeluh kerana telah mengeluarkan belanja yang agak banyak untuk membeli peranti sama ada komputer riba, tablet mahupun telefor pintar untuk keperluan anak mereka mengikuti pelajaran dari rumah dan kini perlu pula membeli baju sekolah anak.
Akan tetapi, adakah ‘suara’ ini mewakili seluruh masyarakat mahupun meliputi pelbagai lapisan sosial ekonomi?
Walhal, mungkin ada yang tidak menyedari bahawa pengumuman pembukaan sekolah ini, sebenarnya merupakan satu ‘rahmat’ amat berharga bagi golongan B40 mahupun luar bandar serta kawasan pedalaman yang diketahui sememangnya begitu terkesan sepanjang pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian.
Amirah Haikal, 15, pelajar tingkatan tiga di sebuah sekolah menengah sekitar Lembah Klang dan rakannya teruja dengan keputusan yang diumumkan kerajaan itu, bahkan menganggap ‘derita mereka’ sudah berakhir.
Keluarga pelajar ini tergolong dalam kalangan berpendapatan rendah, begitu juga rakannya.
Bermula Isnin, 1 Mac 2021, KPM menetapkan pembukaan sekolah untuk murid sekolah rendah iaitu prasekolah, Tahun Satu dan Dua di sekolah rendah di seluruh negara, manakala murid tahun tiga hingga tahun enam pula bermula pada 8 Mac.
Bagi pelajar sekolah menengah, mereka akan memulakan sesi persekolahan pada 4 April bagi Kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu manakala pelajar sekolah menengah Kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya) pada 5 April.