Man City berkelebihan untuk ke final

Manchester City memiliki kelebihan untuk melangkah ke final Liga Juara-Juara selepas bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan Paris Saint Germain (PSG) 2-1 pada perlawanan separuh akhir pertama di Paris, dengan gol kemenangan dijaringkan Riyad Mahrez dari satu tendangan percuma cantik pada Rabu.

Marquinhos meletakkan PSG di hadapan dengan satu tandukan pada awal permainan dan mereka selayaknya mendahului kedudukan 1-0 pada masa rehat perlawanan di Parc des princes.

Bagaimanapun, kapten City, Kevin De Bruyne, mengikat  kedudukan selepas satu jam permainan sebelum Mahrez menewaskan penjaga gol PSG, Keylor Navas dengan satu  tendangan percuma minit  ke-71 untuk melengkapkan kebangkitan, sekali gus memberikan skuad kendalian Pep Guardiola itu kelebihan menjelang perlawanan kedua di Stadium Etihad minggu hadapan.

“Sepuluh minit terakhir dalam separuh masa pertama adalah bagus dan separuh masa kedua cukup hebat dalam setiap posisi. Kami menjaringkan dua gol di tempat lawan, sesuatu yang sangat penting tetapi mempunyai tugas yang sukar dalam tempoh enam hari,” kata Guardiola yang merujuk kepada perlawanan kedua.

“Secara amnya, saya sangat berpuas hati dengan prestasi pasukan tetapi ia masih separuh jalan. Kami masih mempunyai 90 minit lagi untuk menewaskan mereka dan PSG adalah sebuah pasukan di mana apa sahaja boleh berlaku.”

Selepas bermula dengan sangat baik, PSG hilang rentak selepas rehat dan kehilangan Idrissa Gana Gueye, yang dibuang padang pada minit ke-71 kerana terjahan keras ke atas Ilkay Gundogan, menyebabkannya dilayangkan kad merah serta-merta.

Selepas gagal meraih kemenangan di tempat sendiri ketika menentang Manchester United, Barcelona dan Bayern Munich pada kejohanan ini musim ini, PSG berdepan tugas sukar di England jika mahu melangkah ke final kejohanan buat tahun kedua berturut-turut.

Ia adalah pertemuan pertama dua kelab yang dimiliki oleh hartawan dari negara Teluk, dengan City dimiliki hartawan dari  Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar dimiliki hartawan Qatar.

“Kami bolos dua gol mudah,” kata Marquinhos.

Mengenai perlawanan kedua, beliau menambah: “Tiada makna untuk kami pergi ke sana jika kami tidak percaya kami boleh mengubah semua ini.”

Selepas semua pelaburan oleh pemilik mereka, City memburu final pertama mereka pada kejohanan ini dan ia juga penampilan pertama mereka di separuh akhir sejak 2016 apabila menewaskan PSG di suku akhir.

Bagaimanapun, PSG boleh berasa yakin tentang prospek mereka selepas beberapa aksi memberangsangkan di tempat lawan ketika menentang  Barcelona dan Bayern pada dua pusingan sebelum ini.

Jurulatih PSG, Mauricio Pochettino berharap untuk sekali lagi mengatasi Guardiola, sama seperti ketika pasukannya, Tottenham Hotspur menewaskan City di suku akhir pada 2019.

Perlawanan pertama bermula dengan baik untuk PSG, dengan Neymar bersemangat tinggi dan Angel Di Maria serta Gueya beraksi cukup memberangsangkan.

Mereka membuka jaringan pada minit ke-15 apabila Marquinhos menanduk tendangan sudut Di Maria.

Kapten PSG itu membuat penampilan pertamanya sejak dimasukkan sebagai pemain gantian pada perlawanan pertama suku akhir ketika menewaskan Bayern Munich.

Hanya pada minit ke-42 di mana City mempunyai peluang sebenar mereka apabila Bernardo Silva mengumpan bola kepada Phil Foden tetapi rembatan penyudah  berjaya diselamatkan oleh Navas.

PSG hampir menambah jaringan pada awal separuh masa kedua tetapi Marco Verratti gagal menyempurnakan hantaran Kylian Mbappe.

Kegagalan itu memberikan padah kepada PSG apabila De Bruyne melakukan satu rembatan cantik pada minit ke-64.

Gol itu membakar semangat para pemain City, yang mula menguasai permainan dan menjaringkan gol kemenangan ketika berbaki 20 minit permainan dengan satu  tendangan percuma cantik Mahrez dari  jarak 25 meter.

PSG cuba mencari gol penyamaan tetapi penyingkiran Gueye menyukarkan tugas mereka dan terpaksa menunggu 90 minit lagi untuk cuba mengubah nasib mereka. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here