PERUSAHAAN TERNAKAN AYAM MENGAKIBATKAN ‘SERANGAN’ LALAT

Manjong, Julai 15-

Lebih 1,000 penduduk di empat penempatan di Ayer Tawar di sini mendesak pihak berkaitan segera membantu menyelesaikan masalah lalat yang sudah mengganggu kehidupan mereka sejak lebih 30 tahun lalu.

Masalah itu didakwa berpunca daripada perusahaan ternakan ayam yang terletak kira-kira 500 meter dari kawasan penduduk dari Taman Iswara, Kampung Batu 19, Taman Ilham dan Ladang Bilhan di sini.

Penduduk, S Hakesh kumar, 25, berkata, dia sekeluarga sudah tidak tahan dengan masalah gangguan lalat berikutan rumahnya antara yang paling hampir dengan ladang ayam berkenaan.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan ibunya, R Devika, 50, yang menghidap leukemia bertambah tertekan.

 

“Gangguan lalat berlaku siang dan malam, rumah sentiasa tutup tingkap dan pintu. Kami hendak tidur pun tidak boleh dan terpaksa bertutup semasa kami makan.

Hakesh Kumar (kiri) dan K Murali, 41, menunjukkan lokasi penternakan ayam berhampiran rumah mereka.

“Ibu memerlukan penjagaan rapi, masakan yang dimasuki lalat terus buang demi kesihatan ibu. Kebanyakan makanan akan membazir kerana kotor dihurung lalat,” katanya ketika ditemui di sini pada Khamis.

Menurutnya, aktiviti penternakan dengan membawa keluar ayam dan najis menyebabkan laluan berhampiran rumahnya dan persekitaran kawasan penduduk berbau busuk.

“Setiap minggu lebih tiga atau empat lori akan keluar masuk membawa ayam-ayam dan sisa najis yang mana air dari kenderaan itu tertinggal di laluan rumah kami.

“Sudahlah banyak lalat ditambah dengan bau busuk. Kami sudah tidak tahan sudah seperti tinggal dalam ladang ayam pula. Keadaan ini menyebabkan penduduk berasa rimas,” katanya.

Kumaran dan keluarganya berasa rimas menjalani kehidupan seharian. 

K Kumaran, 41, pula berkata, mereka sudah tidak tahan ‘diserang’ lalat selain perlu sentiasa berkurung dalam rumah.

Kata Munusamy Gopal, masalah berkenaan sudah diajukan kepada pelbagai pihak sejak beberapa tahun lalu, namun tiada tindakan diambil.

“Pelbagai usaha dilakukan dengan membeli pelekat lalat dan sebagainya tetapi masalah ini berlarutan tanpa ada kesudahan kerana pengusaha terbabit menjalankan ternakan secara terbuka dan bukannya secara moden.

“Surat aduan diberikan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil pemimpin setempat, namun sehingga kini tiada maklum balas,” katanya.

Munusamy  berkata, mereka mengharapkan ladang ternakan ayam dianggarkan seluas empat ekar itu diberi tindakan dan ditutup demi keselesaan penduduk.

Keadaan lalat menghurung makanan menyebabkan penduduk sukar menangani isu kebersihan disebabkan aktiviti penternakan ayam berhampiran.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak, Dr Ahmad Shafri Hassan ketika dihubungi memaklumkan lokasi berkenaan kini di bawah pemantauan dan siasatan pihaknya selepas menerima aduan tersebut.

“Terdapat dua pengusaha ternakan ayam berlesen di kawasan itu. Kedua-dua reban ketika ini sudah kosong dan mereka diarahkan untuk tidak membawa masuk anak ayam baharu susulan aduan yang diterima.

“Kita akan mengeluarkan notis untuk menggantung sementara operasi ternakan tersebut untuk kita melihat semua aspek yang cetus kacau ganggu lalat serta perkara yang perlu dibaiki penternak,” katanya.

Jelasnya, lesen penternakan boleh dibatalkan sekiranya pengusaha gagal mematuhi arahan serta melakukan penambahbaikkan bagi menangani masalah itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here