POLIS MENERUSKAN PERBICARAAN PENUH KE ATAS SAMAN INDIRA GHANDHI MENDAKWA ‘TIADA TINDAKAN’

Kuala Lumpur, Jul 16-

Mahkamah Tinggi di sini mengarahkan perbicaraan penuh untuk saman M Indira Gandhi terhadap polis dan kerajaan atas dakwaan tiada tindakan dalam melaksanakan waran komital untuk menangkap bekas suaminya kerana menghina mahkamah.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu ketika prosiding dalam talian hari ini.

Ketika menolak cubaan kerajaan untuk membatalkan saman Indira, beliau berkata, ada isu yang perlu disuarakan dalam perbicaraan penuh.

“Walaupun defendan (kerajaan, polis) dalam permohonan pembatalan ini betul dalam menekankan samannya mungkin tidak berdasarkan dakwaan ketidakpatuhan berhubung perintah pengembalian, saman itu pada pandangan saya masih boleh diteruskan, walaupun adanya perintah komital.

“Berlawanan dengan pernyataan kerajaan, saman ini mendedahkan sebab tindakan munasabah kerana ‘tort of nonfeasance’ di bawah undang-undang Malaysia diiktiraf mengikut Seksyen 5 Akta Prosiding Kerajaan, yang menyatakan kerajaan boleh dikenakan tindakan apabila mana-mana penjawat awam melakukan sebarang tindakan salah, cuai atau ingkar berkaitan tugas.”

Nazlan akan mendengar saman Indira mulai 15 Dis ini.

Mahkamah turut mengarahkan kerajaan membayar kos RM4,000 atas perintah membatalkan saman itu.

Sementara itu, dalam usaha Indira mendapatkan 48 jawapan daripada polis berhubung siasatan mereka terhadap pelarian Muhammad Riduan Abdullah, mahkamah sebahagiannya membenarkan persoalan berkaitan prosiding komital itu.

Indira memfailkan saman itu tahun lalu, dengan mendakwa tiada tindakan polis dalam melaksanakan waran itu ke atas Riduan. Beliau menuntut ganti rugi dan deklarasi yang ketua polis negara melakukan “tort of nonfeasance” di pejabat awam.

Mahkamah Persekutuan pada 2016 mengarahkan ketua polis negara melaksanakan waran komital ke atas Riduan selepas dia didapati bersalah menghina mahkamah kerana enggan menyerahkan anak mereka, Prasana.

Prasana dilarikan daripada ibunya pada 2010.

Mahkamah tertinggi itu berkata, hakim Mahkamah Tinggi Ipoh akan memantau kemajuan pelaksanaan waran tangkap itu.

Indira diwakili peguam Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh, manakala Peguam Kanan Persekutuan, Andi Razalijaya A Dadi dan Safiyyah Omar mewakili kerajaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here