HOSPITAL TENGKU AMPUAN RAHIMAH MENERIMA 151 KATIL TAMBAHAN

Klang, Julai 12-
Wad Covid-19 di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) akan menerima tambahan 151 katil daripada Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini menjadikan jumlah keseluruhan katil sebanyak 606 buah.

Ketua Setiausaha KKM Mohd Shafiq Abdullah berkata, bagi wad Unit Rawatan Rapi (ICU) pula, kapasiti katil rawatan Covid-19 sedia ada di hospital itu akan ditingkatkan daripada 51 kepada 72 katil dalam masa terdekat.

“Hasil lawatan saya ke HTAR, didapati jumlah bilangan katil Covid-19 telah bertambah,” katanya kepada Bernama selepas melakukan lawatan kerja ke HTAR semalam.

Dalam kenyataan sebelum ini, HTAR memaklumkan hospital itu mengubah fungsi asrama doktor pelatih dan Kompleks Rawatan Harian menjadi wad sementara bagi menempatkan pesakit Covid-19 bermula Jumaat lepas.
Mengenai aspek peruntukan peralatan perubatan tambahan dalam menangani Covid-19, Mohd Shafiq berkata, KKM setakat ini telah mengagihkan sebanyak RM747 juta di bawah perolehan darurat bagi fasiliti kesihatan di seluruh negara.

“Di Selangor sahaja lebih RM100 juta diberikan. Urusan perolehan ini haruslah cepat, tidak boleh mengikut proses biasa dan kita berterima kasih kepada Perbendaharaan Kementerian Kewangan yang memberi kelulusan khas,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor Dr Sha’ari Ngadiman berkata, HTAR masih dikekalkan status sebagai hospital hibrid memandangkan ia adalah hospital rujukan negeri.

Beliau menambah keseluruhan hospital yang ada di Selangor masih mampu untuk menerima kes, sama ada kes Covid-19 atau bukan Covid-19 dan institusi perubatan negara sentiasa dalam keadaan bersiap siaga.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here