Sultan Ibrahim mahu utamakan 33 juta rakyat bukan 222 Ahli Parlimen

Kuala Lumpur, Nov 22.
Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkata tumpuan Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 adalah mengutamakan kepentingan 33 juta rakyat, bukannya melindungi 222 Ahli Parlimen.

Sultan Ibrahim menyifatkan kedudukan sebagai ketua negara yang akan berkuat kuasa pada 31 Jan tahun depan itu juga bukan “kenaikan pangkat”, sebaliknya tambahan tanggungjawab yang memerlukan pengorbanan masa dan tenaga.

“Saya merasakan negara pada hari ini telah dijangkiti satu virus yang pernah saya sebutkan dahulu semasa di Pasir Gudang iaitu virus perpecahan.

“Virus ini berpunca daripada pemimpin politik yang sanggup berbalah, caci-mencaci, menabur fitnah dan memecah perpaduan rakyat demi mengejar kuasa dan kedudukan demi kepentingan diri sendiri,” kata Sultan Ibrahim di Facebook.

Sultan Ibrahim berkata demikian sempena Majlis Istiadat Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Baginda Ke-65 di Dewan Singgahsana Istana Besar Johor Bahru.

Pada 27 Okt, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengisytiharkan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong seterusnya, menggantikan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dari Pahang, yang penggal pemerintahannya akan tamat pada 30 Jan depan.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah pula diumum sebagai timbalan Yang di-Pertuan Agong.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here